Jumat, 20 Desember 2013

Semangat hijrah beri momentum berganda


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah (tengah) menunaikan solat Maghrib pada Majlis Tahlil dan Doa Selamat sempena Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara, semalam yang turut dihadiri Najib.

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai sebuah negara Islam, kerajaan sentiasa menggarap roh dan semangat hijrah Nabi Muhammad S.A.W. bagi memberikan momentum berganda untuk terus melakukan transformasi dan islah buat negara.

Perdana Menteri berkata Malaysia yang menjunjung tinggi perlembagaan dan Islam sebagai agama bagi negara, tetap istiqamah mendaulatkan kedudukan Islam berlandaskan Maqasid Syariah dan pendekatan berhemah berkonsepkan Wasatiyyah.

“Sasaran menjadi negara Islam maju, progresif dan berpendapatan tinggi ini adalah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah yang menuntut kita untuk menjadi satu umat yang wasatiyyah, adil dan terbaik.

“Justeru, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bahasa dan agama hidup berharmoni, mempertahankan kemakmuran dan kesejahteraan bumi bertuah ini untukkita kecapi bersama dengan sepenuh kesyukuran,” kata Najib dalam perutusan Maal Hijrah beliau yang disiarkan dalam blog www.1Malaysia.com.my semalam.

Najib berkata sambutan Maal Hijrah setiap tahun sebenarnya mengajak umat Islam untuk melakukan perubahan kerana dengan melakukan hijrah bersifat semasa, ia mampu melepaskan seseorang itu daripada belenggu kebekuan yang bersifat tradisi.

Perdana Menteri berkata dalam pengertian Hijrah yang lebih luas, kerajaan tetap memartabatkan agama dan mempertahankan kalimah ALLAH s.w.t demi agama, bangsa dan negara tercinta.

Najib berkata selaras dengan semangat Hijrah, Bajet 2014 yang dibentangkan baru-baru ini juga dirangka untuk terus mengislah ketahanan ekonomi, memperkasa transformasi dan melaksana janji-janji kepada rakyat.

Beliau berkata melalui pelaksanaan program-program transformasi ekonomi yang telah dilancarkan, negara kini terus berkembang dan mendapat pengiktirafan

Bank Dunia apabila Laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014 meletakkan Malaysia pada kedudukan keenam berbanding tempat ke-12 tahun lepas.

“Peningkatan ketara ini sekali gus membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan bagi mentransformasikan negara dan ini mencerminkan kejayaan agenda penghijrahan yang telah dilakukan di dalam negara.

“Kejayaan ini juga mengukuhkan lagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh apabila menjadi satu-satunya negara Islam yang berada dalam kedudukan 10 negara terbaik,” katanya.

Memetik firman ALLAH SWT dalam surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”, Najib berkata semangat hijrah akan melahirkan umat Islam yang sentiasa berfikiran kreatif dan berinovasi serta relevan dengan zaman dan cabaran arus perdana."

Justeru, beliau mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama berdoa supaya kehidupan pada tahun 1435 Hijrah ini akan menjadi lebih baik dan menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta segala dosa diampunkan olehNya.

“Di kesempatan ini, saya dan keluarga mendoakan agar sambutan Maal Hijrah 1435H bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah ini dapat memupuk persefahaman dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia, seterusnya menjadi pemangkin kepada kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya. - Bernama


Like the Post? Do share with your Friends.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

IconIconIconFollow Me on Pinterest